Shakincur, si buta kuat semangat
11 September 2012
1 Ogos 2012
MASYAALLAH! Saya menjerit dalam hati sewaktu pertama kali melihat wajah Shakincur. Penutup kotak di tangan hampir terlepas kerana tidak percaya apa yang saya lihat.
Dua hari lepas, sewaktu Shin, warga Jepun hubungi saya untuk hantar Shakincur, dia terangkan mengenai keadaan kucing betina itu. Tapi saya tidak bayangkan wajah Shakincur seteruk ini. Sangat teruk. Kepalanya hampir hancur. Dua biji mata tersembul keluar. Rahang pecah dan gigi berserabai.
Kulit pipi Shakincur juga koyak dan tergantung di sisi rahang yang pecah. Ngeri! Sungguh ngeri!
Malah saya pelik bagaimana Shakincur boleh bertahan dan tidak mati.
Saya angkat Shakincur dan letakkan di bahagian hadapan Suzuki VS 125, yang saya gunakan saban hari untuk membuat pertunjukan bersama kucing-kucing terbiar di Bukit Bintang. Hari itu persembahan habis awal. Saya ada misi yang lebih penting. Sebagai penyelamat kucing terbiar sepenuh masa, hati saya tersayat melihat penderitaan Shakincur.
“Shakirintan, Shakirina, Shakibi, Shakiko, Shakiro, Shakirin yang dan Shakite, tolong duduk diam-diam ya. Kita perlu selamatkan seekor lagi kucing,” pesan saya pada kucing-kucing yang saya bawa pada pertunjukan hari itu.
Saya hidupkan enjin motosikal dan memecut ke Klinik Muezzo di Setapak, Gombak. Tujuh ekor kucing yang saya bawa hari itu diam di tempat duduk masing-masing.
Klinik milik bekas Pengarah Jabatan Veterinar Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Abdul Ghani sudah serasi dengan saya. Di situlah tempat yang akan saya tuju untuk mendapatkan khidmat nasihat dan ubat-ubatan sekiranya mana-mana kucing saya sakit.
Hari itu, bukan Dr Zulkifli yang bertugas. Melihat kecederaan parah dialami Shakincur, doktor seakan tidak memberi harapan kepada saya. Tapi saya enggan terima. Saya pohon juga doktor itu melakukan sesuatu.
Saya bukan Jamil Kucing kalau saya tak bantu kucing seperti Shakincur untuk hidup. Lalu, saya minta doktor itu menghubungi Dr Zulkifli kerana Dr Zulkifli lebih kenal saya dan faham pendirian saya terhadap kucing.
Doktor itu berjanji akan tolong Shakincur semampunya. Esoknya Shakincur dibedah dan dirawat.
Rahang Shakincur diikat besi sokongan. Bahagian bawah kulit pipi yang tersiat dan tergantung dibuang. Kulit yang terkoyak dijahit dan sisa-sisa darah beku yang kehitaman dibersihkan.
Shakincur ‘diwadkan’ selama dua hari sebelum saya datang mengambilnya pulang.
Dr Zulkifli turut membekalkan ubat-ubatan termasuk antibiotik kepada Shakincur. Syukur...
Menitis air mata saya saat melihat tubuh badan Shakincur yang kurus melidi. Dia seperti takut-takut. Entah apa yang ada di mindanya sehingga kalau saya bergerak sedikit pun dia mahu lari.
Mungkin terlalu trauma dengan apa yang menimpanya beberapa hari lepas. Berdasarkan keadaan mukanya yang hancur, saya rasa Shakincur dilanggar.
Hari-demi hari, saya lihat perubahannya semakin ketara. Kini, selepas hampir sebulan dibedah, siapa sangka si muka hancur dengan biji mata terkeluar ini berjaya lalui kesukaran itu dengan tenang.
Jiwa kucing berusia dua tahun itu amat kuat. Dia bukan sahaja hidup malah ceria dan suka mengganggu kawan-kawan saya yang datang berhari raya.
Shakincur sudah mula bermain dan bergurau dengan kucing-kucing lain seolah-olah tidak buta.
Pada 14 September ini, Shakincur ada temu janji untuk membuka ikatan besi di rahangnya. Selepas itu, bolehlah si manja ini makan dengan mudah.
Biarpun dia buta, naluri dan deria dengarnya amat peka. Shakincur bebas merayau dalam rumah ke mana-mana pun dia suka tanpa sebarang masalah .
Tak pernah sekalipun saya lihat Shakincur terlanggar bucu meja atau kaki kerusi. Dia berjalan dengan baik malah kadang-kadang macam eksyen dengan saya.
Bab makan, Shakincur agak susah sedikit kerana dia perlukan bantuan. Saya akan berikan makanan lembut, letak atas bibirnya dan pancut dengan air.
Kalau tidak, Shakincur tidak mampu membawa makanan itu ke dalam tekak kerana rahangnya yang pecah dan masih diikat besi. Badan Shakincur kini sudah berisi.
Terima kasih kepada rakan-rakan facebook yang memberikan sumbangan untuk perubatan Shakincur.
Saya dalam kisah itu adalah Jamil Ismail atau mesra dikenali sebagai Jamil Kucing. Jamil boleh ditemui setiap hari di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dari jam 2 hingga 5 petang bersama kucing-kucing peliharaannya.
Sewaktu dikunjungi di rumahnya di Pandan Perdana, terdapat sebuah kotak kabus putih berukuran 2 x 1 kaki yang merupakan kubur kucing pertamanya bernama ‘Adik’.
Jamil sengaja mengebumikan ‘Adik’ dalam kotak itu untuk dia bawa ke mana pun dia pindah demi kasih sayangnya terhadap ‘Adik’.
PROFIL
Nama Penuh: Jamil Ismail, 42,
Nama Glamor: Jamil Kucing
Asal: Selama, Perak.
Pendidikan: Sekolah Menengah Datuk Haji Hussein Selama.
Aktiviti: Penyelamat haiwan terbiar
Nama: Shakincur
Umur: 5 Tahun
Cedera: Muka parah, mata terkeluar, rahang pecah, kulit terkoyak,
Rawatan: Pembedahan ikat rahang.
MAY BANK BERHAD:
MAY BANK (KUALA LUMPUR MAIN)
JAMIL BIN ISMAIL
ACCOUNT NO: 164016046536
For oversea Donors Sort Code: (MBBEMYKL)
BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD
JKCR ANIMALS CARE
ACCOUNT NO : 12-122-01-000920-2
0 Comments:
Post a Comment
You can leave comment.if good and ok i will publish it. if rude or bullshit arios kabaretos lambrados.
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home